LABUAN: Pembangunan modal insan turut menjadi fokus dalam program Kampung Angkat MADANI Wilayah Persekutuan (JWP).

Ia penting bagi memastikan penduduk di kampung yang terpilih dapat meneruskan kelangsungan hidup tanpa bergantung kepada kerajaan semata-mata.

Menurut Ketua Pengarah JWP,  Datuk Noridah Abdul Rahim, selain JWP, agensi kerajaan dan sektor korporat perlu berganding bahu dalam menjayakan pembangunan di Kampung Angkat MADANI.

“Program ini bukan hanya fokus kepada infra (infrastuktur) tetapi program-program pembangunan modal insan dan juga pembangunan keupayaan penduduk-penduduk itu sendiri.

"Kebergantungan kepada kerajaan kita tak boleh nak berterusan, tetapi peranan kami di sini adalah untuk membantu.

"Contoh, kalau saya tengok majoriti adalah nelayan, petani yang bekerja sendiri, bagaimana kita membantu mereka untuk meningkatkan pendapatan,” kata beliau.

Noridah ditemui selepas majlis Program Temu Mesra, Kampung Angkat MADANI Kampung Belukut di Labuan pada Sabtu, (4 Mei) yang turut mendapat kerjasama Perbadanan Labuan.

Kampung Belukut berkeluasan 38,446 hektar dikategorikan sebagai kampung serba kekurangan dari aspek kemudahan infrastuktur, dijadikan Kampung Angkat MADANI berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

Tahap liputan kemudahan asas di kampung yang mempunyai 600 penduduk itu adalah pada kadar 50 peratus dan memerlukan penyelenggaraan dan naik taraf seiring dengan keperluan penduduk.

Pemilihan Kampung Belukut sebagai Kampung Angkat MADANI turut disambut baik penduduknya.

Menurut Ketua Kampung Belukut, Asmadi Ahmad, banyak infrastuktur di kampung perlu dibaiki dengan segera bagi kemudahan dan keselamatan penduduk di kampung itu.

“Dalam masa terdekat adalah keperluan asas seperti balai raya.

"Seperti tuan nampak, balai raya ini perlu dinaik taraf kerana ada (kelas) KAFA di sini dan juga aktiviti-aktiviti setempat untuk belia seperti silat dan juga sebagainya.

"Kami juga memohon agar permohonan gelanggang futsal dipercepat dan juga permohonan bumbung terbuka ini dipercepat proses pelaksanaannya,” kata Asmadi.

Kampung Belukut dijadikan kampung angkat Madani JWP

Asmadi turut membawa Noridah meninjau kawasan di sekitar Kampung Belukut yang mempunyai masalah banjir dan tanah mendap, selain keperluan dan kemudahan bagi nelayan di kawasan itu.

Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif Perdana Menteri menerusi Belanjawan 2024 untuk meningkatkan capaian kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya, lampu jalan, kemudahan masyarakat dan capaian internet secara holistik melalui pendekatan Whole of Government.